Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.
Penerangan ini didapati telah
mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut
tentang penubuhan Malaysia.
Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini
dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan,
sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.
Namun, perwakilan Brunei menganggap
diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.
Secara amnya, jawatankuasa ini
berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk
Sabah, Sarawak dan Brunei.
Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta
pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan
perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan
pembentukan Malaysia
ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan
kata
sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit.
Semenjak pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan
perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota
Kinabalu
sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961,
ketiga di
Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1
Februari 1962.
Dalam perjumpaan-perjumpaan
jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu
dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke
Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting.
Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.
No comments:
Post a Comment